Seri Mersing


BATU CAWAN: Yang menjadi salah satu lokasi filem Seri Mersing


SAMPAH:Mencacatkan Pantai Mersing


PANTAI MERSING:Memang Cantik


Setelah tiga puluh tahun bertandang ke rumah kakak di Kluang, Johor, hari ini saya dan keluarga berpeluang melawat Mersing. Mersing saya kenal menerusi filem melayu Seri Mersing. Mersing juga merupakan pekan dimana pelawat boleh mendapatkan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman, Pulau Besar, Pulau Rawa.

Kesempatan bertemu seorang pengusaha tandas di Pantai Mersing saya berpeluang memperolehi sedikit cerita yang menarik. Maklumlah beliau sudah enam puluh tahun tinggal di Mersing. Saya membahasakan dirinya dengan panggilan abang Man (namanya Rahman, orang Mersing panggil beliau sebagai Man Tandas)

Perbualan saya dengan abang Man meliputi topik politik, sosial dan pembangunan. Namun laman ini tidak mahu membicarakan politik, saya lebih suka mendengar kisah pembangunan Mersing.

Tepatlah seperti kata orang “kecil jangan disangka anak; besar jangan disangka bapa” maka saya teruja dengan abang Man yang boleh memberikan sedikit input sejarah Mersing. Ingatkan dia hanya penjaga tandas tapi Abang Man mampu membuatkan saya berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat.

“Encik tengok sana Pulau Besar, tu Pulau Rawa, itu Pulau Tioman. Pelancongan saya suka tapi saya tak suka pembangunan” ujar abang Man. “Kenapa?”, Tanya saya.

“Rosak Pantai Mersing ni nanti.” Tegas beliau.

Apabila dia mendapat tahu kerjaya saya sebagai Jurufoto maka dia lebih hebat bercerita. Saya pula sebagai Blogger yang minat dengan kisah-kisah begini maka beliau melayan sehingga lebih setengah jam.

“Kalau Encik boleh datang bulan dua belas (Disember) datanglah tengok pesta ombak. Ombak besar jadi tarikan orang sini, bawa keluarga”

Mersing merupakan pekan yang kecil. Ketika saya singgah untuk mengisi petrol disebuah stesen minyak kereta berbaris panjang. Rupa-rupanya Mersing tidak mempunyai banyak setesen minyak.

Bagusnya walaupun hari ini hari raya kedua, sudah ada kedai-kedai makan yang beroperasi. Maka soal hendak mengisi perut tidak menjadi masalah.

Saya menyusuri Pantai Mersing dengan jelas dapat melihat apa yang membuat abang Man kesal. Apa yang jelas ialah sampah sarap yang penuh di pasir pantai……..!

-Pantai Mersing,Johor

Ulasan