Singgah Beraya

Syukur saya telah selamat tiba di Bangi jam 12.30 tengahmalam tadi setelah singgah enam jam di Taman Pelangi, Segamat selepas pulang dari rumah kakak di Kampung Seri Tambak Jalan Kluang Mersing.

Hari raya tahun ini program ziarah kami amat sederhana kerana masa untuk merayakan secara "sakan" agak suntuk. Mana taknya Isnin anak bungsu kena masuk sekolah dan anak sulong akan memulakan kuliahnya. Saya dan isteri akan bertugas Isnin ini. Namun syukur dengan "bonus" 2008 kami dapat menziarahi kakak di Kluang. Dia tentu terkejut bila membuka sampul raya dan melihat duit raya saya.Mungkin cukup duit itu untuk mengalirkan air matanya. Biarpun dia kakak berlainan ayah, namun dialah yang menjaga saya semasa "baby" ketika emak dan ayah pergi menoreh. Dia kematian ayah sejak kecil.

Malam hari raya kedua saya sempat berbual dengan Razi anak kakak saya yang telah berjaya mengorak langkah menjadi usahawan ayam golek. Semasa bulan Ramadhan rezekinya lumayan.

Sepatah kata beliau "untung....orang gomen dapat bonus laku juga ayam golek saya Paksu....." Maknanya ada juga kesan tas pemberian bonus yang dapat dirasai oleh peniaga kecil macam Razi!

Sukri, anak saudara yang kedua kini menjadi staff salah sebuah ladang kelapa sawit yang terbesar di Malaysia, ia itu di Bekok, Johor.

Namun paling menarik persinggahan 15 minit di sebuah kampung Orang Asli pinggir Jalan Kluang ke Mersing. Sempat menjengah Tok Batin yang menjalan pengubatan cara Orang Asli. Sedihnya saya diberitahu oleh Sukri, terdapat orang Melayu Islam yang datang berubat kat situ.

Tok Batin tidak salah kerana yang salah orang yang berubat. Kalau tahu cara pengubatan itu salah kenapa datang juga. Bukankah ramai lagi orang bijak pandai Islam yang boleh mengubati kita cara yang lebih mengukuhkan iman. Jika mati dengan penyakit yang kita hidapi pun kita masih mati dalam iman!

Kata Sukri, kampung Orang Asli ini pernah menjadi kunjungan Ayah Pin.

Tok Batin dengan ramah sempat juga menjemput saya ke majlis kenduri perkahwinan anaknya pada 29 Oktober ini.Jangan bimbang katanya orang FELDA masak kata Tok Batin. Tapi saya tak banyak komen dengan jemputan Tok Batin tu. Sebab dia tak tahu saya orang jauh. Agak mustahil nak pergi kekenduri rumahnya dari Bangi. Lagipun 27 hingga 1 November ini saya akan menyertai Ekspedisi Sainstifik Bukit Freaser.

Begitulah cara saya beraya dengan keluarga. Hari pertama di Muar dan ke Kluang dan berakhir di Segamat. Cuma sudah dua tahun saya tidak singgah di Batang Benar Melaka. Sebelum Haji Othman pesara UKM meninggal dunia saya mesti singgah di sana.

Kini hanya tinggal kenangan.

Ulasan